Thursday, December 4, 2014

SIFAT PEMAAF, BERSIH HATI, PENENANG JIWA

Allah menjadikan manusia lengkap sempurna dengan pelbagai keinginan dan perasaan. Kesemua yang dijadikan itu memiliki pasangan atau lawannya masing-masing. Sebagai contoh, Allah menciptakan cantik lawannya hodoh, sabar lawannya panas baran, tinggi lawannya rendah, tua lawannya muda dan pelbagai sifat lagi. Salah satu sifat yang ada pada manusia seperti itu kecuali orang yang beriman dan bertaqwa sahaja. Pemaaf merupakan sifat luhur yang sepatutnya ada kerana orang yang pemaaf dikatakan hampir di sisi ALLAH.

Dalam Al-Quran surah Ali Imran ayat 132, ALLAH mengingatkan, ‘dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, ALLAH mencintai orang yang berbuat kebaikan.” 

Dalam situasi hidup sekarang, bukanlah mudah untuk menanamkan sifat pemaaf dalam diri apatah lagi jika berhadapan dengan perkara-perkara yang mencabar emosi. Sifat marah yang menjadi lawan kepada pemaaf akan berusaha menguasai emosi seseorang.

Syaitan akan mengemudi sifat marah manakala iman dan takwa akan menjadi benteng bagi sifat pemaaf. Syaitan akan menggunakan kelemahan manusia untuk menguasai jiwa agar sentiasa bersifat marah. Bayangkanlah dalam keadaan tertentu, kita ditipu, dihina, dimarah, dikeji, dipulau, diherdik atau dipukul, maka siapakah yang mampu menahan sabar kecuali kemarahan akan membuak-buak apabila dilanda keadaan sebegitu.

Apabila perasaan marah tidak dapat dikawal, ia akan melibatkan tindakan fizikal seperti mencederakan, bahkan tidak mustahil boleh berlaku pembunuhan. Dalam keadaan seperti inilah betapa pentingnya mengawal kemarahan dengan menjadi seorang pemaaf. Misalnya, memaafkan orang yang menghina, mengeji ataupun memukul dengan sesuka hati.

Mereka yang berupaya menahan kemarahan adalah mereka yang berjaya meletakkan diri dalam kemuliaan, keberanian, keikhlasan dan kekuatan yang sebenar. Sebaliknya, orang yang tidak mampu menahan marah adalah golongan yang lemah.

Dalam hadis Riwayat Ahmad, Rasulullah S.A.W. berkata, “bukanlah orang yang kuat itu (dinilai) dengan (kekuatan) dalam pergelutan, sesungguhnya orang yang kuat ialah orang yang dapat menguasai diri ketika marah.” – Hadis ini disepakati oleh Al-Bukhari dan Muslim

Pada suatu ketika Rasulullah S.A.W. pernah diminta oleh seorang lelaki untuk mengajarnya apabila kesabaran di dalam diri tidak dapat dikawal. “ Jangan marah,” beritahu Rasulullah S.A.W. kepada lelaki itu. Bagaimanapun lelaki itu tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut. Baginya besar manalah pahalanya hanya sekadar menahan marah. Kemudian lelaki itu bertanya untuk kali kedua.

“Jangan marah,” jawab Rasulullah S.A.W. lagi bagi membayangkan tidak ada amalan lain yang lebih baik selain tidak marah dan menahan sabar. Begitulah seterusnya, Rasulullah S.A.W.  mengingatkan supaya jangan marah.- Hadis Sahih Riwayat Al-Bukhari

Oleh kerana itulah, Rasulullah S.A.W. selalu berpesan agar menahan sabar dan bersifat pemaaf apabila berhadapan dengan sesuatu perkara yang yang boleh menyebabkan emosi seseorang tercabar. Sifat pemaaf memberi manfaat yang besar kepada diri sendiri terutamanya dari segi rohani. Orang yang bersifat pemaaf sentiasa berada dalam keadaan dalam keadaan tenang, hati bersih, berfikiran terbuka, mudah diajak berunding dan sentiasa menilai diri sendiri untuk melakukan kebaikan.

Rasulullah S.A.W. pernah berhadapan dengan kemarahan tatkala menyaksikan bagaimana bapa saudaranya, Sayidina Hamzah Abu Talib dibunuh dengan kejam dan di luar batas kemanusiaan dalam perang Uhud. Kemarahan dan perasaan dendam Rasulullah S.A.W. akhirnya dilembutkan ALLAH apabila turunnya ayat Al-Quran yang meminta Rasulullah S.A.W. tabah serta bersabar dengan ujian besar yang diterimanya.

ALLAH S.W.T. berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 159 bermaksud, “kalaulah engkau bersikap kasar dan keras hati terhadap mereka, tentulah mereka akan lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah kesalahan mereka.”

Wa’allahu A’lam…

0 comments:

Post a Comment