Monday, December 22, 2014

5 KEMULIAAN PELIHARA SOLAT

Melakukan solat fardhu walaupun paling lama hanya lebih kurang sepuluh minit sahaja tetapi masih yang tidak menunaikannya. Malah ramai yang mengabaikannya kerana menganggap itu adalah urusan mereka dengan ALLAH. Terdapat tiga golongan yang menunaikan solat.

Golongan yang pertama terdiri daripada mereka yang tekun dan rajin menunaikan solat. Golongan kedua, mereka yang menunaikan solat ketika waktu lapang sahaja manakala golongan ketiga terdiri daripada mereka yang tidak ambil peduli sama ada mahu menunaikan solat atau tidak.

Golongan kedua dan ketiga inilah yang pernah dikatakan oleh Rasulullah SAW dalam satu hadisnya yang bermaksud, “Akan datang kepada manusia suatu masa bahawa ada golongan manusia yang mendirikan solat padahal mereka sebenarnya tidak bersolat.”

Kalau kita rajin memerhatikan, pelbagai ragam dapat dilihat apabila seseorang itu menunaikan solat. Tidak kiralah sama ada solat berjemaah atau bersendirian. Tidak dinafikan ramai di antara kita kadang-kadang tidak faham apa yang dibacakan dalam solat. Mereka menghafal kalimah yang dipelajari tanpa mengetahui maksud ayat yang dibaca.

Ada juga yang bersolat kerana rakan bersolat sedangkan solatnya itu tidak pernah khusyuk. Mereka melakukan dalam keadaan terpaksa kerana malu dikatakan tidak bersolat tetapi sebenarnya ia dilaksanakan bukan dengan niat yang ikhlas.

Apa yang pasti, bukanlah satu perkara mudah untuk memelihara solat dengan penuh kesempurnaan seperti yang dituntut oleh agama. Namun, seseorang muslim perlu berusaha ke arah mendapatkan solat yang lebih sempurna. Antara caranya ialah berwuduk dengan sempurna, membaca setiap bacaan yang ditetapkan dengan hati dan difahami, memandang ke arah kiblat dan sebagainya.

Orang yang sentiasa memelihara solat akan dirahmati oleh ALLAH dengan cara dilapangkan kesempitan hidup, terselamat dari azab kubur, diberikan ketenangan fikiran, redha dan berlapang dada dengan apa yang ditakdirkan dan pelbagai kemuliaan yang lain.

Sebaliknya orang yang meninggalkan solat dengan sengaja pula akan mendapat balasa setimpal dengan perbuatan itu. Kehidupan mereka sentiasa terumbang-ambing, rezeki mereka sempit, jiwa mereka keluh kesah dan resah gelisah serta wajah mereka tidak ada cahaya iman. Pada hari akhirat kelak, mereka akan diazab oleh ALLAH seberat-beratnya dengan api neraka yang marak menyala.

ALLAH SWT telah memberikan pelbagai bentuk rukhsah dan kemudahan kepada umatnya agar terus tekun mendirikan solat walau dalam keadaan apa sekalipun. Contohnya, bagi mereka yang sakit dan tidak mampu berdiri, ALLAH beri kelonggaran untuk bersolat secara duduk, berbaring, hatta menggunakan kelopak mata jika keadaan mereka benar-benar kritikal. Begitu juga bagi wanita yang mengalami istihadah iaitu pendarahan yang bukan haid, mereka dibenarkan menjamakkan solat. Termasuklah juga mereka yang dalam musafir, boleh juga menjamakkan dan mengqasarkan solat.


Berdasarkan peruntukan yang disediakan ini, amatlah tidak wajar jika masih wujud umat Islam yang meninggalkan solat limat waktu. Mereka yang berani menentang arahan ALLAH SWT ini akan mendapat balasan setimpal di akhirat kelak. Oleh itu, peliharalah solat sebaik mungkin. Solat yang didirikan dengan sempurna dapat menghindari kita dariapda perbuatan keji dan mungkar. Ini adalah janji-NYA. Sesungguhnya DIA tidak pernah memungkiri janji.

0 comments:

Post a Comment