Sesiapa pun tidak dapat menduga bilakah saat kematian mereka akan
tiba. Sebab itu ramai yang masih leka dan tiada persediaan 'menanti'
saat kematian mereka.
Firman Allah s.w.t.yang bermaksud :
"Apabila nafas (seseorang) telah sampai ke kerongkong, dan dikatakan
kepadanya, "' Siapakah yang dapat menyembuhkan'. Dan dia yakin bahawa
sesungguhnya itulah waktu perpisahan dan bertaut betis kiri dan betis
kanan, kepada Rabbmulah pada hari itu kamu dikembalikan." (Surah
al-Qiyamah ayat 26-30).
Allah berfirman yang bermaksud:
"Setiap yang hidup akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan
kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu akan
kembali."(Surah al-Anbiyak ayat 35)
Hidup dizaman kemajuan
ICT dan dunia tanpa sempadan, kejadian mati mengejut dan mati ditimpa
musibah adalah sesuatu perkara biasa. Di negara kita sendiri kematian
disebabkan kemalangan jalan raya, mati disebabkan sakit jantung dan mati
mengejut yang lain adalah beberapa kes kematian yang sering berlaku
setiap hari.
Soalannya, apakah persiapan kita bila mati
datang mengejut? Adakah kita telah membuat persiapan sekiranya saat
kematian itu datang? Ketika itu apakah yang dapat kita bawa bersama
sebagai teman setia yang akan membantu kita menghadapi saat getir di
alam barzakh?
Sahabat yang dimuliakan,
Terdapat
tujuh amalan atau persiapan yg perlu kita lakukan sebelum ajal datang
menjelma, maksudnya kita dah buat persiapan awal tanpa kita tunggu masa
yg sesuai, selagi boleh kita buat kita terus melaksanakannya.
Amalan Pertama : Setiap hari hendaklah bertaubat dan beristighfar.
Rasulullah
s.a.w. pernah menasihati umatnya agar sentiasa bertaubat kepada Allah :
"Wahai sekelian manusia, bertaubatlah kamu kepada Tuhan sebelum kamu
mati. Gunakanlah kesempatan yang ada untuk beramal dan berbakti sebelum
masa kamu dipenuhi oleh urusan dan kerja. Wujudkanlah satu pertalian
antara kamu dengan-Nya, memperbanyakan mengingati-Nya (zikrullah)."
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud :"Orang yang bertaubat dari dosanya adalah seperti orang yang tidak punya dosa."
Rasulullah s.a.w .beristigfar lebih tujuh puluh kali sehari supaya lidah dan hati sentiasa menyebut dan mengingati Allah s.w.t.
Firman
Allah s.w.t. yang bermaksud :“Dan tidaklah Allah akan mengazab mereka,
sedang mereka meminta ampun (istighfar)”(Surah Al-Anfal ayat 33)
Amalan Kedua : Betulkan solat kita dan cuba untuk khyusuk.
Jangan
lambat-lambatkan solat bagi lelaki cuba solat berjemaah dimasjid. Solat
adalah amalan yg pertama disemak di hari akhirat nanti jika solat
diterima maka amalan lain juga akan diterima.
Rasulullah
s.a.w. bersabda yang bermaksud :"Berapa ramai orang yang mendirikan
solat, tetapi yang diperolehinya hanya penat dan letih kerana mereka itu
lalai dalam solatnya."
Khusyuk menjadi syarat sama ada
solat seorang akan diterima oleh Allah. Jika khusyuk tidak wujud dalam
diri orang yang menunaikan solat, maka ruang kosong itu pasti terisi
dengan sifat lalai. Oramg yang lalai tidak akan merasai keagungan Allah,
sekalipun lidahnya mengucapkan kalimah-kalimah yang mengandungi
kata-kata pujian kepada Allah.
Daripada Abu Hurairah,
katanya bahawa Rasulullah saw bersabda bermaksud: "Sesungguhnya amalan
yang mula-mula sekali dihisabkan seseorang pada hari kiamat mengenainya
ialah solatnya, jika solatnya diterima, maka sesungguhnya beruntung dan
berjayalah ia. Jika solatnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia.
Jika terkurang daripadanya solat fardu sesuatu. Allah berfirman:
'Periksalah, adakah hambaku itu mempunyai solat-solat sunat untuk
dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada solat fardu.
Demikianlah keadaan amalan lain."(Hadis Riwayat Tirmizi)
Amalan Ketiga selesaikan semua hutang :
Roh
seorang Mukmin yang beriman atau pun roh seorang syuhada akan
tergantung diantara langit dan bumi kerana hutangnya yg belum
diselesaikan. Jangan tanguh-tanguh untuk membayar hutang. Apabila
mempunyai wang yang cukup terus membayarnya.
Salah satu
perkara yang sangat menakutkan apabila hutang itu tidak dapat
diselesaikan ialah bilamana orang yang masih menanggung hutang itu mati
atau meninggal dunia dalam keadaan hutang yang belum habis diselesaikan.
Anak-anak , isteri dan waris-waris pula tidak tahu ataupun tidak mahu
bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang si mati di mana mengikut
hadis org yg mati sedangkan ia masih berhutang maka rohnya
terapung-apung dilangit dan semua amalannya tergantung.
"Dari
Abi Hurairah Radiallahuanhu katanya: Telah bersabda Rasulullah s.a.w
maksudnya : "Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (dihalang
daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya
itu dilunaskan.''(Riwayat Al-Imam Al-Tarmizi).
Oleh itu
tulislah satu surat wasiat dan senaraikan semua hutang-hutang yang ada
lengkap dengan jumlah dan nama dan alamat orang yang memberi hutang,
serahkan kepada waris terdekat atau pemegang amanah (syarikat yang
menguruskan wasiat) apabila mati datang mengejut urusan hutang-piutang
ada pihak lain yang akan menyelesaikannya supaya rohnya kembali kepada
Allah s.w.t. dalam keadaan tenang tidak tergantung.
Amalan Keempat :Banyakkan sedekah jariah.
Termasuk
dalam kategori sedekah jariah ialah harta yang diwaqafkan, termasuk
tanah, rumah, kebun atau lain-lainnya untuk dimanfaatkan oleh orang
lain. Misalnya, seseorang mewaqafkan bangunan untuk dijadikan sekolah,
asrama, hospital, masjid dan seumpamanya.
Mendirikan
bangunan untuk kepentingan awam yang dihalalkan Islam juga dikira
sedekah jariah. Menubuhkan perpustakaan atau pusat sumber bagi
meningkatkan ilmu dan iman orang Islam juga amal jariah yang sangat
dituntut.
Mendirikan rumah waqaf untuk kaum kerabat sahaja
atau umum untuk orang-orang miskin yang memerlukan tempat berteduh atau
untuk disewakan dan hasilnya dikhairatkan untuk kebajikan umum.
Mendirikan
rumah "musafir khanah" untuk persinggahan orang-orang musafir yang
memerlukannya. Dan lain-lain lagi yang termasuk dalam amalan yang
diredhai Allah seperti mencetak al-Qur'an dan kitab-kitab Islam serta
buku-buku pengetahuan yang berguna dan sebagainya. Amalan "waqaf" dalam
Islam ini telah bermula semenjak zaman Rasulullah s.a.w.
Selagi
harta benda yang diwaqafkan itu masih wujud dan dinikmati faedahnya
olah umum maka tuan punya harta itu akan mendapat pahalanya berterusan
semasa ia hidup dan sesudah ia mati.
Daripada Abu
Hurairah, Rasulullah ada bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati,
putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu
yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang solih yang berdo'a
untuknya.” (Hadis Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad.)
Amalan Kelima : Ilmu yang bermanfaat.
Iilmu
yang dapat dimanfaatkan maksudnya ilmu yang diajarkan ketika seseorang
itu masih hidup dan ia kemudiannya dimanfaatkan pula oleh orang lain,
maka pahala mengajar itu berterusan selagi orang yang menerima ilmu itu
mengamalkannya.
Ilmu yang dimaksudkan dalam hadis ini
ialah ilmu agama dan juga ilmu mengenai dunia. Ilmu agama ialah
al-Qur'an dan al-sunah serta segala cabangnya. Ilmu dunia ialah sains
alam, dan pengurusan pentadbiran dan kenegaraan serta yang berkaitan
dengannya.
Pahala diterima oleh mereka yang menyebarkan
ilmu berkekalan hingga hari kiamat selagi manusia dapat manfaat daripada
ilmu yang diajarkan itu. Ilmu yang disebarkannya itu, sama ada melalui
syarahan, penulisan kitab, akhbar atau majalah atau apa-apa rakaman yang
dapat dirujuk dalam bentuk cetak dan elektronik maka ia mendapat
ganjaran berkekalan.
Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah
s.a.w. bersabda maksudnya : "Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat,
maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala) pengikutnya,
dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang
mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa
pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun.
(Diriwayatkan oleh Imam Muslim)
Amalan Keenam : Anak yang soleh yang mendo'akannya .
Anak
yang dididiknya ketika hayatnya hingga menjadi orang soleh dan sentiasa
mendo'akan kesejahteraan ibu bapanya sesudah meninggal dunia. Hadis ini
memberi jaminan do'a anak yang soleh kepada orang tuanya diterima Allah
s.w.t.
Do'anya itu bukan sahaja rahmat kepada kedua ibu
bapanya yang masih hidup atau yang telah mati, tetapi akan membawa
kebaikan dan pahala yang besar kepada anak itu sendiri. Sungguh
beruntung anak yang sentiasa mengingati kedua ibu bapanya dengan
mendoakan mereka selepas mengerjakan solat dan semasa berada pada hari
baik bulan baik atau semasa berada di tanah suci yang sangat berkat dan
mustajab doa padanya.
Sebaik-baiknya berdo'alah seperti berikut:
رَبِّ
اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيْرًا.
"Ya Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku serta cucurilah
rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih
sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil."
Menurut
panduan al-Qur'an pada tiap-tiap kali seseorang itu berdoa memohon
rahmat bagi dirinya ibu bapa dan kaum kerabatnya eloklah ia meluaskan
do'anya itu sehingga meliputi umat Islam umumnya yang hidup dan yang
mati.
Sebab itu eloklah ia mengakhiri doanya dengan
menyebut: وَلِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ
وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ بِرَحْمَتِكَ يَا
أَرْحَمَ الرَّاحِمِيْنَ."Dan ampunilah dosa-dosa orang-orang Islam
lelaki dan perempuan; dan dosa orang-orang yang beriman, lelaki dan
perempuan; yang hidup dan yang mati. Dengan kelimpahan rahmat-Mu wahai
Tuhan yang tidak ada taranya tentang limpahan rahmat-Nya."
Di
dalam Syurga, seseorang diangkat darjatnya oleh Allah lalu dia bertanya
kepada Allah: “Ya Tuhanku, bagaimana saya mendapat darjat kebesaran
ini?”.
Firman Allah bermaksud : “Ini disebabkan do'a anakmu yang memohonkan keampunan bagimu.” (Riwayat Imam Ahmad - Mustika Hadis).
Amalan Ketujuh : Meminta maaf kepada semua orang yang kita melakukan dosa kepada mereka.
Tidak
perlu menunggu Hari Raya. Dosa mengumpat, memfitnah, menyakiti hati
orang dan mengambil hak mereka. Jika kita telah terambil hak atau
barang-barang mereka maka pulangkanlah.
Anak segeralah
memohon ampun kepada kedua ibu bapa. Isteri hendaklah segera memohon
ampun kepada suami. Murid hendaklah memohon kemaafan kepada guru-guru.
Kita hendaklah memohon maaf kepada saudara-mara, jiran tetangga, sahabat
handai, rakan sekerja dan sesiapa saja yang kita rasa telah melakukan
dosa kerana Allah s.w.t. tidak akan mengampunkan dosa yang dibuat sesama
manusia.
Sahabat yang dihormati,Amalkanlah tujuh perkara
tersebut sebagai usaha-usaha kita semasa di dunia ini supaya apabila
kita bertemu Allah di alam barzakh dan hari akhirat nanti kita telah
membuat sesuatu yang dapat membantu kita dan menyelamatkan kita daripada
halangan dan gangguan untuk mendapat keampunan di sisi Allah s.w.t.
Pepatah
ada megatakan : "Sediakan payung sebelum hujan" untuk kita menghadapi
saat kematian maka kita perlu sediakan tujuh perkara sebelum kita
dipanggil pulang oleh Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t.
maksudnya : “Hai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati
yang puas lagi direrdhaiNya. Maka masuklah ke dalam jema’ah
hamba-hamba-Ku. Masuklah ke dalam Syurga-Ku” (Surah Al-Fajr ayat 27-30)
0 comments:
Post a Comment