Thursday, December 4, 2014

Berdoalah Selagi Belum Dimakbulkan

Terdapat sesetengah daripada kita apabila doanya tidak dimakbulkan, mereka berasa kecewa atau putus asa. Mereka beranggapan ALLAH tidak mendengar doanya serta tidak mendapat perhatian ALLAH. Anggapan mereka sebenarnya salah. DIA sentiasa mendengar doa para hamba-NYA.

ALLAH akan memperkenankan doa hamba-NYA selagi tidak mengandungi unsur-unsur seperti permintaan yang melibatkan dosa, memutuskan silaturahim atau perasaan tidak sabar agar doa tersebut segera diperkenankan. Seseorang yang berdoa itu hendaklah sentiasa bersangka baik dengan ALLAH bahawa DIA akan memperkenankan  dia tersebut walau dengan cara apa sekalipun. Begitu juga dia tidak boleh mudah putus asa dan hendaklah sentiasa berharap agar doanya itu dimakbulkan.

Sama ada doa itu dipercepat dan lambat diperkenankan, hanya ALLAH yang tahu. Sudah tentu ada sebab dan musababnya sesuatu doa itu dipercepat atau dilambatkan. Oleh kerana itu, usah henti berdoa dan teruslah berdoa.

Cara bagaimana ALLAH memperkenankan doa seseorang hamba-NYA juga berbeza-beza. Umpamanya, mungkin seorang hamba meminta kekayaan yang besar dan rezeki yang melimpah ruah tetapi ALLAH Maha Mengetahui…apabila diberik kekayaan, dia akan sombong dan bakhil lalu dia hanya diberikan rezeki yang hanya secukupnya.

Oleh yang demikian, kita berdoa usah sekali-kali membuat kesimpulan bahawa doa tersebut tidak diterima, sebaliknya hendaklah melihat ke dalam diri sendiri apakah yang menyebabkan doa itu lambat diperkenankan.

Hadis daripada Ahmad, Al-Bazzar dan Abu Yala, Rasulullah S.A.W. berkata, “ Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya dosa atau memutuskan silaturahim melainkan ALLAh akan memberi kepadanya salah satu daripada tiga perkara; sama ada disegerakan kemakbulan atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat ataupun dijauhkan keburukan yang sepadan dengannya.

Berdoa kepada ALLAH merupakan satu ibadat. Maksudnya, jika seorang hamba itu berdoa selama sejam, dia sebenarnya sedang beribadat selamat sejam. Jika dia berdoa sepanjang malam, bererti dia beribadat sepanjang malam. Rasulullah S.A.W. berkata dalam satu hadis daripada Abu Daud dan At-Tirmiizi, Rasulullah S.A.W. berkata, “Doa itu adalah ibadat”. 

Walaupun doa itu satu ibadat, usah pula kita berdoa kepada sesuatu yang lain selain ALLAH seandainya doa itu belum diperkenankan kerana ia akan membawa kepada perbuatan syirik sebagaimana yang ditegaskan dalam Al-Quran surah Al-Ahqaf ayat 5-6 bermaksud,”Dan tiada yang lebih sesat daripada orang menyeru selain ALLAH yang tidak dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka (makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (pada hari kiamat), segala yang disembah itu menjadi musuh (kepada orang yang menyembahnya) dan membantah mereka.”

Kehidupan ini memiliki rahsia yang tersembunyi dan tiada siapa mengetahuinya. Adakala apa yang kita harapkan tidak menjadi, sebaliknya apa yang kita tidak minta, kita akan memperolehinya. Hanya ALLAH tahu apa yang terbaik untuk kita dan yang tidak baik untuk kita.

ALLAH Maha Mengetahui apa yang bakal terjadi, apa yang sedang dan telah terjadi. Hanya kita selalu keliru dalam menilai sesuatu keadaan. Sehingga kadangkala kita berdoa hendakkan sesuatu sedangkan ALLAH mengetahui ia tidak baik untuk kita. ALLAH menggantikan dengan perkara lain tetapi kita mungkin tidak perasan atau sedar.

Seseorang itu mungkin beranggapan doanya belum diperkenankan tetapi hakikatnya dia sedang menikmati apa yang dipintanya. Oleh itu, usah cepat berputus asa dengan rahmat ALLAH dan terus menghukum bahawa doa kita tidak diperkenankan. 

Teruslah berdoa disamping merenung ke dalam diri apakah yang telah ALLAH berikan kepada kita dalam hidup ini. Ingatlah…. Usah terlalu mudah beranggapan bahawa ALLAH menolak doa kita. Jauhilah prasangka itu!!

Renung-renungkanlah…

0 comments:

Post a Comment