Thursday, January 1, 2015

SENTIASALAH MEMBERI SALAM

Berapa kalikah di dalam sehari kita memberi salam sesama muslim apabila bertemu atau menelefon? Berbahagialah mereka jika sentiasa memberi salam setiap kali bertemu dengan sesama muslim kerana sifat seperti inilah yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W. kepada umatnya.

Syariat menggalakkan kita menebarkan salam kepada saudara seagama tidak kira di mana (bukan tempat yang tidak sesuai) dan siapa sahaja. Ini kerana, salam yang diucapkan akan membuka hubungan silaturahim, merapatkan jurang dan tanda kemesraan dihulurkan kepada penerima salam tersebut.

Ucapan salam merupakan ucapan yang mendoakan kesejahteraan dan keselamatan kepada orang yang diberi dan menjawabnya adalah wajib. Apakah hikmah Rasulullah S.A.W. berpesan supaya sentiasa memberikan salam? Sudah tentulah dengan memberi salam sama ada kepada orang kita kenal atau tidak, secara tidak langsung akan menjalinkan hubungan harmoni dan menunjukkan betapa hubungan sesama umat Islam sentiasa bersatu padu.

Kenyataan ini jelas apabila Rasulullah S.A.W. pernah berpesan, Apakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu apabila kamu lakukan, kamu akan bersatu pada dan berkasih sayang iaitu menyebarkan assalamualaikum di antara kamu.”

Ucapan memberi salam merupakan satu amal perbuatan yang dituntut kerana Rasulullah S.A.W. sendiri pernah mengingatkan, “Sesungguhnya ALLAH tidak melihat rupa kalian begitu juga dengan harta tetapi ALLAH melihat hati dan amal perbuatan yang dilakukan.”

Jelaslah di sini Rasulullah S.A.W. berpesan supaya mengamalkan memberi salam kepada sesama Islam kerana ia merupakan satu amal dan adakah kita sudah menyediakannya sebagai bekalan pada hari akhirat kelak? Ia juga akan dihitung sebagai timbangan amal perbuatan kita.

Ibrahim Adham, seorang ahli sufi terkenal mengingatkan, “Ucapan salam yang ikhlas akan menghindarkan kita daripada kejahatan dan musibah sebagaimana ucapan fitnah yang membawa kepada dosa. Selain itu memberi salam juga merupakan satu sedekah yang digalakkan di dalam Islam.”

Secara tidak langsung ia akan menghindarkan seseorang itu daripada sifat dengki, tamak, sombong, angkuh, baran, dan sikap negatif yang suka menyakitkan hati orang.

Keutamaan memberi salam juga ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W. katanya, “Demi diriku di tangan-NYA, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman dan kamu tidak akan beriman sehingga kamu berkasih sayang. Mahukah aku tunjukkan kepada satu pekerjaan yang akan menambah kasih sayang sesama kamu? Iaitu kamu hendaklah sebarkan salam di antara kamu.”

Pada suatu ketika Rasulullah S.A.W. bertanya kepada Anas bin Malik, katanya, “ Hai Anas, mahukah aku ajarkan kepadamu tiga perkara yang berfaedah?”

“Sudah tentu Ya Rasulullah, apakah dia?”

Lalu jawab Rasulullah S.A.W., “ Apabila engkau bertemu dengan umatku hendaklah engkau memberi salam kepadanya, nescaya panjang umurmu. Jika engkau masuk ke rumah, berilah salam supaya banyak kebajikan di rumah engkau dan hendaklah engkau solat dhuha kerana ia adalah solat orang yang beriman.”

Sementara itu, Abdullah bin Amru bin Al-As menceritakan, “ Seseorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW : apakah yang terbaik di dalam Islam?”

Lalu Rasulullah S.A.W. menjawab, “Memberi makan dan memberi salam  kepada orang yang engkau kenal atau tidak.”

Dalam satu perkembangan lain, Rasulullah S.A.W. berpesan kepada umatnya, “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam dan berilah makanan dan hubungilah keluarga dan solatlah pada waktu malam ketika orang sedang nyenyak tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamat sejahtera.”

Sebagaimana peraturan hidup yang lain, di dalam memberi salam juga ada peraturannya. Bukhari dan Muslim menceritakan daripada hadis, Rasulullah SAW berkata, “Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk dan golongan yang sedikit hendaklah memberi salam kepada orang yang banyak.”

Sebaik-baik umat di sisi ALLAH ialah mereka yang mengutamakan memberi salam sesama Islam seperti yang diceritakan oleh Abu Umamah Al-Bahili bahawa Rasulullah SAW berkata, “Seutama-utama manusia di sisi ALLAH ialah terlebih dahulu memberi salam.”

Demikian, Rasulullah SAW berpesan agar memulakan harian hidup dengan memberi salam kepada sesiapa yang ditemui sebagai satu jalan langkah memanjangkan silaturahim dan membanyakkan kasih sayang.


0 comments:

Post a Comment